Jumaat, 6 Oktober 2017

Hari ini, 50 tahun lalu



ARKIB : 01/08/2007

Johor terima Rang Perlembagaan Merdeka sebulat suara
Majlis Mesyuarat Negeri Johor yang bersidang pada 31 Julai 1957 telah menerima dengan sebulat suara Rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka.

Pemuda UMNO bantah seruan merdeka di radio
Pemuda UMNO cawangan Kota Bharu, Kelantan dalam mesyuarat jawatankuasanya telah membantah seruan ‘merdeka’ yang disiarkan oleh Radio Malaya. Mesyuarat memutuskan bahawa seruan ‘merdeka’ hendaklah diucapkan oleh juruhebah radio sendiri dan bukan sebagaimana dilakukan.

Pindaan undang-undang Pahang diterima, akan diluluskan sebelum merdeka

Majlis Mesyuarat Negeri Pahang bersetuju membuat pindaan kepada bahagian-bahagian fasal undang-undang tubuh negeri Pahang untuk disesuaikan dengan Perlembagaan baru Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka selepas 31 Ogos 1957 apabila cadangan membawa pindaan dikemukakan oleh penasihat undang-undang.

Perjumpaan membincangkan tanggungjawab Pemuda
Peranan dan tanggungjawab Pemuda dalam Malaya yang merdeka dibincangkan dalam satu perjumpaan pemuda-pemuda Melayu Utara, diadakan tiga hari berturut-turut mulai 9 Ogos 1957 di Kulim, Kedah. Perjumpaan anjuran Panitia Youth Club Kedah itu bermatlamat menanam pengertian mendalam mengenai kemerdekaan.

Hadiah Dewan Perniagaan Persekutuan kerana kemerdekaan

Dewan Perniagaan Persekutuan Negeri-Negeri Melayu, iaitu dewan kepunyaan orang Eropah telah menyampaikan hadiah sebanyak RM27,375 kerana perayaan kemerdekaan.

Lakonan sejarah lama tanah air
Kejadian-kejadian yang berlaku dalam tanah air pada masa silam disusun bagi dijadikan lakonan semasa Hari Kemerdekaan. Ini termasuk di kalangan orang Bugis di Batu Pahat yang berusaha menyiapkan cerita anak Bugis lima bersaudara untuk dipertontonkan sempena perayaan kemerdekaan. Pada masa sama, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Batu Pahat turut berlatih berlakon cerita Megat Terawis untuk dimainkan ketika perayaan merdeka di Batu Pahat.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4ujevu9L0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 Februari 2017

PERASMIAN KOMPLEKS PERNIAGAAN PEKAN RABU, KEDAH.25.2.1978

SUSUNAN –AHMAD BIN YAKOB
Pada  hari  ini 25.2  dalam  tahun  1978,  Kompleks  Perniagaan  Pekan  Rabu   dirasmikan  oleh  YAB Dato’ Seri Dr.  Mahathir Mohamad, Timbalan  Perdana  Menteri.  Bangunan  yang  menempatkan  kompleks  perniagaan  ini  dibina  khas  bagi  memudahkan  para  peniaga  Bumiputera  khususnya  Orang  Melayu  menjalankan  perniagaan  mereka.  Bangunan  ini  telah  dapat  direalisasikan  pembinaannya  dengan  bantuan  sebanyak  $3.2  juta  daripada  Majlis  Amanah  Rakyat (MARA).  Sejarah  Pekan  Rabu  bermula  daripada  sebuah  pasar  minggu  yang  diadakan  pada  setiap  hari  Rabu  di  Tanjung  Chali,  Alor  Setar.  Ianya  telah  diasaskan  oleh  YTM  Tunku  Yaakob  Ibni  Almarhum  Sultan  Abdul  Hamid  Halim  Shah pada  tahun   1920.  Pada  tahun  1932,  Pekan  Rabu  telah  berpindah  ke  lokasinya  kini  iaitu di Jalan  Tunku  Ibrahim,  Alor  Setar,  Kedah.  Bangunan  Pekan  Rabu  yang  terdapat  kini  terdiri  daripada  2  fasa  di mana  Fasa  Pertama  adalah  terdiri  daripada  3  tingkat  bangunan  perniagaan  yang  mengandungi  274 buah  kedai,   manakala  Fasa  Kedua  adalah  terdiri  daripada  3  tingkat  bangunan  yang  mengandungi  73  buah  kedai.   Sesungguhnya,  penubuhan  Pekan  Rabu  telah  berjaya  menyatupadukan  peniaga-peniaga  Melayu  di bawah  satu  bumbung  serta  melahirkan  lebih  ramai  pemborong  dan  peniaga  Melayu   serta   mengetengahkan  barangan  keluaran  kampung  ke dalam  pasaran  terbuka.

SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=556

Ahad, 19 Februari 2017

PERJANJIAN BANTUAN UNESCO KEPADA MALAYSIA DITANDATANGAN I 20.1.1967


susunan AHMAD BIN YAAKOB


Pada hari ini dalam tahun 1967, satu perjanjian bantuan daripada  pihak  UNESCO (United Nation Education Science and Culture Organisation)  kepada  Kerajaan  Malaysia  telah  ditandatangani  bertempat  di  Maktab  Perguruan Lembah  Pantai,  Kuala  Lumpur.  Kerajaan  Malaysia  telah diwakili  oleh  Menteri  Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari manakala  UNESCO diwakili oleh Timbalan Pengarah Agongnya,  Dr. M.S. Adiseshah.  Antara  kandungan  perjanjian  mengenai  bantuan  dalam  bidang  dasar  pembangunan  dan  pelajaran  ini  ialah  persetujuan  pihak  UNESCO  untuk  membantu  menubuhkan  sebuah  Maktab  Teknik  Ipoh,  Perak  dengan  memberi  bantuan  berupa  kelengkapan  dan  tenaga  pengajar.  Selain  daripada  itu  UNESCO  juga  akan  menempatkan  Pegawai Penasihat Sains di Pejabat Perdana Menteri bagi  Malaysia menubuhkan sebuah Majlis Penyelidikan Kebangsaan yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran penyelidikan sains di negara ini.  Disamping  itu  juga UNESCO  akan  menghantar  pakar  perancang  Khutub  Khanah  ke Malaysia.  Sesungguhnya,  bantuan  daripada  badan-badan  antarabangsa  turut  memainkan  peranan  penting  dalam  usaha  mempercepatkan  pembangunan  negara. 
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

MESYUARAT KALI PERTAMA KABINET MERDEKA

MESYUARAT KALI PERTAMA KABINET MERDEKA 10.9-1957
susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 10 September dalam tahun 1957, telah berlangsung satu sidang Jemaah Menteri Kabinet yang pertama dalam sejarah Persekutuan Tanah Melayu Merdeka. Sidang itu telah diadakan di bangunan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Dalam persidangan tersebut, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri telah memangku jawatan yang pada masa sebelum merdeka ia dijawat oleh Pesuruhjaya Tinggi British selaku pengerusi Majlis mesyuarat yang lama. Inilah kali pertama dimana seorang anak peribumi mengambil alih teraju pimpinan jemaah Menteri dan seterusnya mengetuai kerajaan setelah sekian lama ia dikuasai oleh penjajah.  Dalam sidang yang berlangsung selama dua jam itu, Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri telah menerangkan kepada jemaah menteri tentang peraturan-peraturan baru kabinet dan juga ingatan kepada para Menteri berkenaan dengan tanggungjawab dalam bidang tugas kabinet. Didalam kabinet ini semua Menteri adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin Perikatan UMNO-MCA-MIC yang memenangi pilihanraya Umum 1955 melainkan Col. H.S. Lee. Beliau ialah seorang Menteri yang tidak dipilih melalui pilihanraya tetapi dilantik dan diserahkan Fortfolio sebagai Menteri Kewangan. Sistem perlantikan ini dimasukkan apabila berlangsung pilihanraya umum 1959 dimana seluruh Menteri kabinet 1959 terdiri daripada anggota-anggota yang memenangi pilihanraya sahaja. Sesungguhnya mesyuarat pertama kabinet pada hari ini dalam tahun 1957, merupakan detik bersejarah dalam usaha pemimpin-pemimpin negara menerajui pemerintahan berkerajaan sendiri.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 18 Januari dalam tahun 1956, Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah diadakan.  Persidangan ini dinamakan Persidangan Malaya Merdeka. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang dibincangkan ialah:-

Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’,
Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato' Abdul Razak bin Hussein, Dr, Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee, Tuan T.H. Tan dan Bahaman Shamsudin.  Wakil-wakil dari Raja-Raha Melayu pula terdiri dari  Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato' Mohd Seth. Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31 hb. Ogos, 1957.           

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

PERASMIAN STADIUM MERDEKA

susunan AHMAD BIN YAAKOB

Pada hari ini 30 Ogos dalam  tahun  1957,   Ketua  Menteri  Persekutuan  Tanah  Melayu, Tunku  Abdul  Rahman  Putra  telah  mengisytiharkan  pembukaan Stadium  Merdeka.  Turut  serta  hadir  pada  upacara  tersebut  ialah  Pengerusi  Lembaga  Pengawalan  Stadium  Merdeka,  Dato’  Abdul  Razak  Hussein.  Pada  hari   tersebut  Stadium  Merdeka  bergema  dengan  sorokan  lebih  15,000  hadirin  termasuk  pelajar-pelajar  sekolah,  700  orang  tetamu kehormat dan ahli-ahli sukan dari lapan  negara luar. Upacara tersebut juga diserikan dengan pertunjukan acara padang oleh 1,000 orang kanak-kanak sekolah dengan iringan pancaragam Askar Melayu Diraja.  Kerja-kerja  pembinaan  Stadium  yang  bernilai  sebanyak  $2.3   juta  ini  telah  dimulakan pada  25  September  1956 dan perletakan  batu  asas  Stadium ini  telah  disempurnakan  oleh Tunku  Abdul  Rahman  pada  15  Februari  1957.  Pembinaan  Stadium  ini  telah  siap  pada  21  Ogos  1957  dan  pengendaliannya  telah  diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control).  Antara  beberapa  peristiwa  bersejarah  yang  terakam  di  Stadium  ini  ialah  Pengisytiharan  Kemerdekaan  Persekutuan  Tanah  Melayu oleh  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  pada  31  Ogos  1957.

PERSETUJUAN JEPUN UNTUK KEMERDEKAAN 26.7.1945

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 26 Julai dalam tahun 1945 Pentadbiran Tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama dengan Indonesia. Berita persetujuan tersebut disampaikan kepada pihak nasionalis, terutama sekali kepada pemimpin KRIS. KRIS dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy. KRIS ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia. la adalah pertubuhan nasionalis yang mendapat sokongan daripada pentadbiran tentera Jepun dan dasarnya merupakan lanjutan daripada dasar-dasar KMM (Kesatuan Melayu Muda). Menjelang bulan Jun 1945 Jepun telah mula merasakan kekuatannya semakin lemah dan pengaruh di kalangan orang-orang Melayu mula berkurangan. Di dalam kesempitan ini Jepun merasakan perlu untuk memenangi semula hati rakyat terutama golongan nasionalis di Tanah Melayu dan Indonesia. Akhirnya pentadbiran Tentera Jepun di Indonesia berjanji memberi kemerdekaan kepada Indonesia. Sementara itu golongan nasionalis Tanah Melayu telah menuntut supaya Tanah Melayu juga turut dimerdekakan dan dimerdekakan sebagai sebahagian daripada Indonesia. Pihak nasionalis Indonesia bersetuju dengan cadangan tersebut dan pada hari ini dalam tahun 1945 pentadbiran tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan bersama kepada Tanah Melayu dan Indonesia. Walaubagaimanapun apabila Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba kepada pihak Berikat,   Sukarno dan Hatta telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa menyebut nama Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Wilayah Indonesia Raya. Tanah Melayu telah ditinggalkan untuk berjuang bersendirian dan ini menyebabkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia gagal.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

’BAPA KEMERDEKAAN’ MENINGGAL DUNIA

 susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 12 Jun dalam tahun 1990, Bapa Kemerdekaan,  Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 87 tahun telah kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Kuala Lumpur, pada jam 10.25 malam kerana sakit tenat. Jenazah Almarhum telah di bawa ke Bangunan Parlimen daripada tempat kediamannya pada jam 7.40 pagi dan diletakkan di tempat khas di Dewan Bankuasi bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir. Satu upacara penghormatan terakhir telah diadakan di stesen Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Star. Jenazah Almarhum disemadikan di Makam Diraja Laggar, Alor Star. Tunku Abdul Rahman diputerakan di Alor Star pada 8 Febuari 1903 dan merupakan putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah.  Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan sebagai mengenangkan segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Beliau menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970.  Pada 22 September 1970 beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Selepas bersara dari politik, Tunku dilantik menjadi Setiausaha Agong Persidangan Negara-Negara Islam yang pertama sehingga 1974. Sesungguhnya segala jasa bakti dan sumbangan Almarhum Tunku terhadap negara akan tetap terus dikenang dan dijulang selamanya.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

AMINUDDIN BAKI, TOKOH NASIONALIS KEMERDEKAAN MENINGGAL DUNIA

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 24 Februari dalam tahun 1965, tokoh nasionalis kemerdekaan Encik Aminuddin Baki telah meninggal dunia.  Allahyarham merupakan seorang tokoh nasionalis kemerdekaan yang bertanggungjawab, berdedikasi dan aktif yang berjuang melalui pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.  Allahyarham Aminuddin Baki, telah dilahirkan di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926.  Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor hingga darjah lima, kemudiaan meneruskan pendidikan menengahnya di Special Malay Class dan Sekolah Anderson, Ipoh.  Setelah lulus peperiksaan Cambridge School Certificate, Allahyarham melanjutkan lagi pelajarannya di Raffles College, Singapura pada 1947.  Setelah itu pada tahun 1949 Allahyarham diterima masuk pula ke Universiti Malaya, Singapura dan lulus pada tahun 1951.  Oleh kerana kecemerlangan Allahyarham dalam pelajaran, pada bulan Oktober 1952, Allahyarham ditawarkan Queen’s Scholaship bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institute of Education, University of London dan lulus dengan Master of Methods.  Sekembalinya ke tanah air pada 1953, Allahyarham bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris.  Mulai tahun 1959-1960 Allahyarham menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor. Disamping itu, Allahyarham merupakan anak Melayu pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.  Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak bergiat dalam pelbagai jawatankuasa dan gerakan pelajar.  Jawatankuasa tersebut antaranya Jawatankuasa Barnes, Jawatankuasa Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib.  Di samping itu Allahyarham juga aktif dalam kebudayaan, bahasa dan kemasyarakatan.  Beliau pernah memegang jawatan Presiden GPMS yang ditubuhkan oleh Allahyarham dan rakan-rakan pada 1948.  Sebagai mengenang jasa beliau, satu tabung dinamakan Yayasan Aminuddin Baki telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 5 Februari 1966.

  Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

TUNKU DIKURNIAKAN GELARAN BAPA KEMERDEKAAN

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada  hari  ini 29 Jun dalam  tahun  1957,  Tunku  Abdul  Rahman  Putra,  Ketua  Menteri Persekutuan  Tanah  Melayu  telah  dianugerahkan  dengan  gelaran "Bapa Kemerdekaan"  negara.  Penganugerahan  gelaran  ini  telah  dipersetujui  di  dalam  Persidangan  Agong  UMNO  dan  pengurniaan  secara  rasmi  gelaran  ini  telah dilakukan  pada  malam  30  Ogos  1957  di  Padang  Kelab  Selangor.   Pengurniaan gelaran  ini  merupakan  satu  penghargaan  kepada  Tunku  Abdul  Rahman  ke atas  jasa dan  perjuangan  beliau  dalam membebaskan  tanahair  daripada  cengkaman  penjajahan  Inggeris.  Tunku  Abdul  Rahman  Putra,  merupakan  putera  kepada  DYMM  Sultan  Abdul  Hamid  merupakan  seorang  tokoh  politik  yang  praktikal, kerana  beliau merupakan pemimpin yang julung-julung kalinya berjaya memperjuangkan  serta  menyatupadukan  penduduk  yang  berbilang  bangsa  untuk sama-sama  mendapatkan  kemerdekaan  ke  atas  Tanah  Melayu.  Sesungguhnya, gelaran  Bapa  Kemerdekaan  kepada  Tunku  Abdul  Rahman  merupakan  anugerah yang  amat  bernilai  sebagai  mengenang  segala  sumbangan  dan  perjuangannya  ke atas  kemerdekaan  tanah air.

 Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Rabu, 15 Februari 2017

PERLETAKAN BATU ASAS STADIUM MERDEKA: 15-02-1957

SUSUNAN -AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari. ini dalam tahun 1957, upacara  peletakan  batu  asas  Stadium  Merdeka  telah  dilakukan  oleh  Tunku Abdul Rahman Putra  di  Kuala  Lumpur.  Pembinaan  Stadium  ini  adalah  sebagai  persiapan  menyambut  kemerdekaan  dan langkah  ke arah  memenuhi  keperluan  sebuah  arena sukan yang  moden  di  negara  ini.  Kerja-kerja  pembinaannya  diselenggarakan oleh pihak Jabatan Kerja  Raya  yang  telah  dimulakan  dalam  bulan Julai  1956.  Ia  menyediakan kemudahan dan kelengkapan sukan yang bertaraf  antarabangsa  yang  mampu    memuatkan   22,000  penonton.  Stadium ini telah  mula digunakan pada  upacara bersejarah tanahair, iaitu pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31  Ogos  1957.  Sesungguhnya  pembinaan  Stadium  yang  penuh  bersejarah  ini  adalah hasil kejayaan  negara  dalam  perjuangan  menuntut  kemerdekaan bagi membentuk  sebuah kerajaan  sendiri.   Bahkan ianya juga  melambangkan  perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum hasil daripada pelbagai kegiatan sukan, kebudayaan  dan upacara kebangsaan yang diadakan di Stadium ini.

Sumber- http://www2.arkib.gov.my/hids

Selasa, 31 Januari 2017

PEMBUKAAN MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA

SUSUNAN AHMAD BIN YYAAKOB
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1935,  Maktab  Perguruan  Melayu Melaka  telah  dibuka khas untuk melatih guru-guru perempuan.  Pada  peringkat  awal  penubuhannya  maktab ini hanyalah  merupakan bangunan  rumah sakit  yang  telah  diubahsuai menjadi  sebuah  maktab.  Pada  akhir tahun 1939, sebuah sekolah perempuan di  Ujong  Pasir  telah diambil alih oleh  pentadbir  maktab dan dijadikan sebagai Sekolah Latihan.  Pada  peringkat  permulaannya,  pengambilan  pelatih  hanya  terhad  kepada  24  orang  bagi  sesi  pengambilan  bagi  setiap  tahun.  Para  pelatih  yang  terpilih  ini  telah  diberikan  elaun  sebanyak  $3.00  sebulan  sepanjang  tempoh  dua  tahun  kursus  tersebut  dijalankan.  Pengetua  pertamanya  ialah  Puan  N.  Purdom  yang  kemudianya  telah  digantikan  dengan Puan M.  Lomas  dengan  dibantu  oleh  seorang  Penolong  iaitu    iaitu  Cik  Fatimah  Musa.  Maktab  ini  menyediakan  sukatan  pelajaran  yang  lebih  menjurus  kepada  pelajaran  yang  melibatkan  urusan  rumahtangga  dan  penghidupan  di  rumah.  Antara mata  pelajaran  yang  disediakan  ialah  Kira-Kira, Bacaan Tulisan Jawi dan Rumi  serta Karangan Sejarah.   Selepas  perang  ia  telah  ditambah  dengan kurikulum Bahasa Inggeris dan Agama Islam.  Sejak  tahun  1935,  maktab  ini  telah  menyediakan  pelatih-pelatih  untuk  mengajar   di sekolah  rendah  Melayu  sahaja  sehinggalah  pada  tahun  1973,  maktab  ini  telah  mula  menyediakan  pelatih  untuk  mengajar  di  sekolah  menengah  dan  rendah.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/hids

Sabtu, 28 Januari 2017

SERANGAN KOMUNIS KE ATAS BALAI POLIS BUKIT KEPONG, MUAR, JOHOR

SUSUNAN -AHMAD BIN  YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1950, satu lagi keganasan bersenjata telah berlaku apabila komunis m
enyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak di Muar, Johor. Dalam insiden serangan ini seramai dua puluh lima orang anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas-pengganas komunis ini. Mereka ialah tiga Pegawai Polis berpangkat rendah, enam orang polis biasa, tiga orang polis `Marine', dua orang polis tambahan, lima orang polis bantuan, dua orang isteri serta dua orang anak polis biasa, dan dua orang awam. Jumlah tersebut tidak termasuk kemalangan di pihak pengganas komunis, di mana tiga orang terbunuh dan 17 cedera.  Di samping itu 3 buah bangunan telah musnah iaitu Balai Penghulu, Balai Polis dan Berek Polis. Serangan telah dimulakan kira-kira jam 5.00 pagi 23 Februari 1950 oleh segerombolan pengganas komunis seramai 180 orang.  Mereka menggunakan senjata-senjata automatik telah mengepung Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu sedang dikawal oleh 3 orang anggota bertugas. Apabila tembak menembak bermula kesemua anggota termasuk anak isteri mereka turut membantu dan berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Balai Polis itu tidak berjaya ditawan oleh pengganas-pengganas komunis tetapi keseluruhan Balai telah dibakar dan mengorbankan nyawa anggota polis dan keluarga mereka. Mereka tetap mempertahankan Balai ini walaupun tahu musuh jauh lebih ramai jumlahnya. Pengorbanan yang dilakukan oleh anggota-anggota polis dengan bantuan orang-orang kampung itu adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya.  Mereka boleh menyelamatkan diri dengan menyerah diri kepada komunis tetapi terus mempertahankan hak yang jauh lebih mulia dari nyawa mereka, iaitu demi mengekalkan kebebasan dan menyelamatkan negara ini.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

LAPORAN JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN DIKELUARKAN 27.2.1963

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah dan United Kingdom telah diterbitkan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. Laporan ini telah menggariskan syarat-syarat dan tuntutan-tuntutan rakyat Sarawak dan Sabah untuk menyertai pembentukan Malaysia. Bagi rakyat Sarawak dan Sabah syarat ini bertujuan melindungi hak dan cara hidup mereka yang selama ini diamalkan. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan pada Ogos 1962 dan Lord Lansdome, Menteri Hal Ehwal Tanah Jajahan Inggeris telah dilantik sebagai pengerusi. Wakil-wakil Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein dan Encik Abdul Aziz Ishak. Sarawak diwakili oleh lima orang pegawai Inggeris dan lima orang Ketua Tempatan termasuk Abang Hj. Mustapha dan Encik Jugah anak Barieng. Manakala negeri Sabah telah menghantar 7 orang wakil diketuai oleh Encik Donald Stephens. Jawatankuasa ini ditubuhkan khas untuk meneliti peruntukan perlembagaan seperti kebebasan beragama, perwakilan di Parlimen, kedudukan rakyat bumiputera, pelajaran, Imigresen, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri. Atas dasar muhibah serta kerjasama yang rapat syor-syor Jawatankuasa antara Kerajaan ini diterima dan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah diubah suai dan dipinda untuk dijadikan perlembagaan Malaysia yang memasukkan juga cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa antara kerajaan ini.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Selasa, 17 Januari 2017

MAJLIS GERAKAN NEGARA DIBUBARKAN PADA 22.2.1971

Pada hari ini dalam tahun 1971, MAGERAN dibubarkan dan sistem kerjaan berparlimen dipulihkan semula. Pada 16 Mei 1969 Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Tujuan utama penubuhan MAGERAN ini untuk menghadapi keadaan darurat dan mengembalikan semula negara kepada keadaan sediakala. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN, manakala anggota terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik, Pegawai-pegawai Tadbir Kanan Kerajaan dan pihak perkhidmatan tentera dan polis.Pada dasar fungsi utama MAGERAN ialah:
Untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara.
Untuk menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna.
Untuk mengembalikan suasana keharmonian dan saling mempercayai di kalangan pelbagai kaum
Apabila keadaan ketenteraman dapat dikawal dan pentadbiran negara kembali pulih maka MAGERAN telah dibubarkan.

http://www2.arkib.gov.my/hids/

Selasa, 10 Januari 2017

PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN IBU PEJABAT R.I.D.A. 5.6.1965

Pada   hari   ini   dalam   tahun  1965,   Timbalan  Perdana   Menteri,  Dato’  Abdul  Razak  Hussein  telah   menyempurnakan   perletakan   batu   asas   bangunan   baru   RIDA  (Rural  Industrial  Development  Authority)  di   Jalan   Tunku   Abdul   Rahman.   Bangunan  yang   bernilai  $ 3 juta   ini   bakal   dijadikan   sebagai    pusat   pengendalian,   perancangan  dan   pentadbiran.  RIDA   yang   kemudiannya   ditukarkan   nama   kepada  MARA  (Majlis  Amanah   Rakyat )    telah   ditubuhkan   oleh  kerajaan  untuk   membantu   menjalankan   tugas  dan   usaha   bagi  meningkatkan   pendapatan   penduduk  terutamanya   bagi   kawasan   luar  bandar.   Ketika   berucap   pada   majlis   tersebut,   Datuk   Abdul  Razak   menyatakan   harapan  agar   RIDA   dapat   memainkan   peranan   untuk   terus   membantu  melatih   rakyat   dalam  bidang   iktisad   dan   perniagaan.   Beliau   juga   telah   menggariskan  tujuh  tugas  penting  yang  akan  dikendalikan  oleh   bahagian-bahagian  di   dalam   pentadbiran   RIDA  antaranya  ialah   bahagian   latihan   dan   juga   bahagian   kemudahan   modal   dan   pinjaman.  Dato’  Abdul   Razak   juga   telah   menyeru   agar   usaha   secara   bersama  diadakan  bagi  membantu  rakyat  memperluaskan  mata  pencarian   yang  sekaligus  meningkatkan  pendapatan  penduduk  terutamanya  kaum  bumiputera.  Sesungguhnya,  RIDA  telah  menyumbang  meningkatkan   kedudukan  taraf  ekonomi  kaum  bumiputera  dalam  usaha  kerajaan  membangunankan   negara   selepas   kemerdekaan  dicapai   pada   31   Ogos   1957.
http://www2.arkib.gov.my/hids/


Isnin, 9 Januari 2017

Tarikh Peristiwa : 09­01­1942 Bandar Jesselton Jatuh Ke Tangan Jepun

Susunan Ahmad bin Yaakob
Pada hari ini dalam tahun 1942, bandar Jesselton ibu negeri Sabah yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu telah jatuh ke tangan Jepun. Dengan tertawannya Jesselton, pihak Jepun telah memenjarakan pegawai-­pegawai berbangsa Eropah pada 19 Januari 1942 dan seterusnya mengambil tindakan ke atas kakitangan berbangsa Eropah yang lain dengan memenjarakan kesemuanya di Berek Polis Jesselton.
Pihak Jepun kemudiannya mengisytiharkan Sabah sebagai sebahagian daripada Dai Nippon iaitu taklukan Jepun di bawah pemerintahan seorang Komander dan dibantu oleh pasukan askar Jepun. Pentadbiran
Tentera Jepun juga telah memperkenalkan mata wang yang baru iaitu mata wang Jepun bagi
menggantikan mata wang British, sementara persekolahan, pejabat dan lain­lain diteruskan seperti biasa tetapi berorientasikan kepentingan pihak Jepun. Perdagangan Sabah dikawal sepenuhnya oleh Jepun menyebabkan rakyat menderita kerana kekurangan bahan-­bahan keperluan asas seperti makanan,pakaian dan perubatan. Hal ini menimbulkan penentangan rakyat terhadap pentadbiran Jepun seperti pemberontakan secara gerila dilancarkan dalam tahun 1943. 
      Menjelang tahun 1945 Pihak Berikat mula melancarkan serangan balas ke atas pentadbiran Jepun di Sabah. Dengan bantuan rakyat tempatan pihak pentadbiran Jepun di Sabah dapat ditewaskan dan bandar Jesselton khususnya dan Sabah amnya telah dapat dibebaskan sepenuhnya dari Jepun pada 9 September 1945.

Sumber- http://hids.arkib.gov.my/-/bandar-jesselton-jatuh-ke-tangan-jep-1