Ahad, 19 Februari 2017

PERSETUJUAN JEPUN UNTUK KEMERDEKAAN 26.7.1945

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 26 Julai dalam tahun 1945 Pentadbiran Tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama dengan Indonesia. Berita persetujuan tersebut disampaikan kepada pihak nasionalis, terutama sekali kepada pemimpin KRIS. KRIS dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob dan Dr Burhanuddin AI-Helmy. KRIS ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia. la adalah pertubuhan nasionalis yang mendapat sokongan daripada pentadbiran tentera Jepun dan dasarnya merupakan lanjutan daripada dasar-dasar KMM (Kesatuan Melayu Muda). Menjelang bulan Jun 1945 Jepun telah mula merasakan kekuatannya semakin lemah dan pengaruh di kalangan orang-orang Melayu mula berkurangan. Di dalam kesempitan ini Jepun merasakan perlu untuk memenangi semula hati rakyat terutama golongan nasionalis di Tanah Melayu dan Indonesia. Akhirnya pentadbiran Tentera Jepun di Indonesia berjanji memberi kemerdekaan kepada Indonesia. Sementara itu golongan nasionalis Tanah Melayu telah menuntut supaya Tanah Melayu juga turut dimerdekakan dan dimerdekakan sebagai sebahagian daripada Indonesia. Pihak nasionalis Indonesia bersetuju dengan cadangan tersebut dan pada hari ini dalam tahun 1945 pentadbiran tentera Jepun di Tanah Melayu telah menyatakan persetujuannya untuk memberi kemerdekaan bersama kepada Tanah Melayu dan Indonesia. Walaubagaimanapun apabila Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba kepada pihak Berikat,   Sukarno dan Hatta telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa menyebut nama Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Wilayah Indonesia Raya. Tanah Melayu telah ditinggalkan untuk berjuang bersendirian dan ini menyebabkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia gagal.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan