susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 24 Februari dalam
tahun 1965, tokoh nasionalis kemerdekaan Encik Aminuddin Baki telah meninggal
dunia. Allahyarham merupakan seorang
tokoh nasionalis kemerdekaan yang bertanggungjawab, berdedikasi dan aktif yang
berjuang melalui pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Allahyarham Aminuddin Baki, telah dilahirkan
di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor hingga
darjah lima, kemudiaan meneruskan pendidikan menengahnya di Special Malay Class
dan Sekolah Anderson, Ipoh. Setelah
lulus peperiksaan Cambridge School Certificate, Allahyarham melanjutkan lagi
pelajarannya di Raffles College, Singapura pada 1947. Setelah itu pada tahun 1949 Allahyarham
diterima masuk pula ke Universiti Malaya, Singapura dan lulus pada tahun 1951. Oleh kerana kecemerlangan Allahyarham dalam
pelajaran, pada bulan Oktober 1952, Allahyarham ditawarkan Queen’s Scholaship
bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institute of Education,
University of London dan lulus dengan Master of Methods. Sekembalinya ke tanah air pada 1953,
Allahyarham bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris. Mulai tahun 1959-1960 Allahyarham menjadi
pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di
Selangor. Disamping itu, Allahyarham merupakan anak Melayu pertama memegang
jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak bergiat dalam pelbagai
jawatankuasa dan gerakan pelajar.
Jawatankuasa tersebut antaranya Jawatankuasa Barnes, Jawatankuasa
Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib.
Di samping itu Allahyarham juga aktif dalam kebudayaan, bahasa dan
kemasyarakatan. Beliau pernah memegang
jawatan Presiden GPMS yang ditubuhkan oleh Allahyarham dan rakan-rakan pada
1948. Sebagai mengenang jasa beliau,
satu tabung dinamakan Yayasan Aminuddin Baki telah ditubuhkan dan dilancarkan
pada 5 Februari 1966.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan