susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1963,
Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan
Sabah dan United Kingdom telah diterbitkan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota
Kinabalu. Laporan ini telah menggariskan syarat-syarat dan tuntutan-tuntutan
rakyat Sarawak dan Sabah untuk menyertai pembentukan Malaysia. Bagi rakyat
Sarawak dan Sabah syarat ini bertujuan melindungi hak dan cara hidup mereka
yang selama ini diamalkan. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan pada Ogos 1962 dan
Lord Lansdome, Menteri Hal Ehwal Tanah Jajahan Inggeris telah dilantik sebagai
pengerusi. Wakil-wakil Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Dato’ Abdul Razak
bin Dato’ Hussein dan Encik Abdul Aziz Ishak. Sarawak diwakili oleh lima orang
pegawai Inggeris dan lima orang Ketua Tempatan termasuk Abang Hj. Mustapha dan
Encik Jugah anak Barieng. Manakala negeri Sabah telah menghantar 7 orang wakil
diketuai oleh Encik Donald Stephens. Jawatankuasa ini ditubuhkan khas untuk
meneliti peruntukan perlembagaan seperti kebebasan beragama, perwakilan di
Parlimen, kedudukan rakyat bumiputera, pelajaran, Imigresen, kewarganegaraan
dan perlembagaan negeri. Atas dasar muhibah serta kerjasama yang rapat
syor-syor Jawatankuasa antara Kerajaan ini diterima dan perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah diubah suai dan dipinda untuk dijadikan
perlembagaan Malaysia yang memasukkan juga cadangan-cadangan yang dikemukakan
oleh Jawatankuasa antara kerajaan ini.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan