Selasa, 31 Januari 2017

PEMBUKAAN MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA

SUSUNAN AHMAD BIN YYAAKOB
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1935,  Maktab  Perguruan  Melayu Melaka  telah  dibuka khas untuk melatih guru-guru perempuan.  Pada  peringkat  awal  penubuhannya  maktab ini hanyalah  merupakan bangunan  rumah sakit  yang  telah  diubahsuai menjadi  sebuah  maktab.  Pada  akhir tahun 1939, sebuah sekolah perempuan di  Ujong  Pasir  telah diambil alih oleh  pentadbir  maktab dan dijadikan sebagai Sekolah Latihan.  Pada  peringkat  permulaannya,  pengambilan  pelatih  hanya  terhad  kepada  24  orang  bagi  sesi  pengambilan  bagi  setiap  tahun.  Para  pelatih  yang  terpilih  ini  telah  diberikan  elaun  sebanyak  $3.00  sebulan  sepanjang  tempoh  dua  tahun  kursus  tersebut  dijalankan.  Pengetua  pertamanya  ialah  Puan  N.  Purdom  yang  kemudianya  telah  digantikan  dengan Puan M.  Lomas  dengan  dibantu  oleh  seorang  Penolong  iaitu    iaitu  Cik  Fatimah  Musa.  Maktab  ini  menyediakan  sukatan  pelajaran  yang  lebih  menjurus  kepada  pelajaran  yang  melibatkan  urusan  rumahtangga  dan  penghidupan  di  rumah.  Antara mata  pelajaran  yang  disediakan  ialah  Kira-Kira, Bacaan Tulisan Jawi dan Rumi  serta Karangan Sejarah.   Selepas  perang  ia  telah  ditambah  dengan kurikulum Bahasa Inggeris dan Agama Islam.  Sejak  tahun  1935,  maktab  ini  telah  menyediakan  pelatih-pelatih  untuk  mengajar   di sekolah  rendah  Melayu  sahaja  sehinggalah  pada  tahun  1973,  maktab  ini  telah  mula  menyediakan  pelatih  untuk  mengajar  di  sekolah  menengah  dan  rendah.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/hids

Sabtu, 28 Januari 2017

SERANGAN KOMUNIS KE ATAS BALAI POLIS BUKIT KEPONG, MUAR, JOHOR

SUSUNAN -AHMAD BIN  YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1950, satu lagi keganasan bersenjata telah berlaku apabila komunis m
enyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak di Muar, Johor. Dalam insiden serangan ini seramai dua puluh lima orang anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas-pengganas komunis ini. Mereka ialah tiga Pegawai Polis berpangkat rendah, enam orang polis biasa, tiga orang polis `Marine', dua orang polis tambahan, lima orang polis bantuan, dua orang isteri serta dua orang anak polis biasa, dan dua orang awam. Jumlah tersebut tidak termasuk kemalangan di pihak pengganas komunis, di mana tiga orang terbunuh dan 17 cedera.  Di samping itu 3 buah bangunan telah musnah iaitu Balai Penghulu, Balai Polis dan Berek Polis. Serangan telah dimulakan kira-kira jam 5.00 pagi 23 Februari 1950 oleh segerombolan pengganas komunis seramai 180 orang.  Mereka menggunakan senjata-senjata automatik telah mengepung Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu sedang dikawal oleh 3 orang anggota bertugas. Apabila tembak menembak bermula kesemua anggota termasuk anak isteri mereka turut membantu dan berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Balai Polis itu tidak berjaya ditawan oleh pengganas-pengganas komunis tetapi keseluruhan Balai telah dibakar dan mengorbankan nyawa anggota polis dan keluarga mereka. Mereka tetap mempertahankan Balai ini walaupun tahu musuh jauh lebih ramai jumlahnya. Pengorbanan yang dilakukan oleh anggota-anggota polis dengan bantuan orang-orang kampung itu adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya.  Mereka boleh menyelamatkan diri dengan menyerah diri kepada komunis tetapi terus mempertahankan hak yang jauh lebih mulia dari nyawa mereka, iaitu demi mengekalkan kebebasan dan menyelamatkan negara ini.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

LAPORAN JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN DIKELUARKAN 27.2.1963

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah dan United Kingdom telah diterbitkan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. Laporan ini telah menggariskan syarat-syarat dan tuntutan-tuntutan rakyat Sarawak dan Sabah untuk menyertai pembentukan Malaysia. Bagi rakyat Sarawak dan Sabah syarat ini bertujuan melindungi hak dan cara hidup mereka yang selama ini diamalkan. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan pada Ogos 1962 dan Lord Lansdome, Menteri Hal Ehwal Tanah Jajahan Inggeris telah dilantik sebagai pengerusi. Wakil-wakil Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein dan Encik Abdul Aziz Ishak. Sarawak diwakili oleh lima orang pegawai Inggeris dan lima orang Ketua Tempatan termasuk Abang Hj. Mustapha dan Encik Jugah anak Barieng. Manakala negeri Sabah telah menghantar 7 orang wakil diketuai oleh Encik Donald Stephens. Jawatankuasa ini ditubuhkan khas untuk meneliti peruntukan perlembagaan seperti kebebasan beragama, perwakilan di Parlimen, kedudukan rakyat bumiputera, pelajaran, Imigresen, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri. Atas dasar muhibah serta kerjasama yang rapat syor-syor Jawatankuasa antara Kerajaan ini diterima dan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah diubah suai dan dipinda untuk dijadikan perlembagaan Malaysia yang memasukkan juga cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa antara kerajaan ini.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Selasa, 17 Januari 2017

MAJLIS GERAKAN NEGARA DIBUBARKAN PADA 22.2.1971

Pada hari ini dalam tahun 1971, MAGERAN dibubarkan dan sistem kerjaan berparlimen dipulihkan semula. Pada 16 Mei 1969 Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Tujuan utama penubuhan MAGERAN ini untuk menghadapi keadaan darurat dan mengembalikan semula negara kepada keadaan sediakala. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN, manakala anggota terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik, Pegawai-pegawai Tadbir Kanan Kerajaan dan pihak perkhidmatan tentera dan polis.Pada dasar fungsi utama MAGERAN ialah:
Untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara.
Untuk menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna.
Untuk mengembalikan suasana keharmonian dan saling mempercayai di kalangan pelbagai kaum
Apabila keadaan ketenteraman dapat dikawal dan pentadbiran negara kembali pulih maka MAGERAN telah dibubarkan.

http://www2.arkib.gov.my/hids/

Selasa, 10 Januari 2017

PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN IBU PEJABAT R.I.D.A. 5.6.1965

Pada   hari   ini   dalam   tahun  1965,   Timbalan  Perdana   Menteri,  Dato’  Abdul  Razak  Hussein  telah   menyempurnakan   perletakan   batu   asas   bangunan   baru   RIDA  (Rural  Industrial  Development  Authority)  di   Jalan   Tunku   Abdul   Rahman.   Bangunan  yang   bernilai  $ 3 juta   ini   bakal   dijadikan   sebagai    pusat   pengendalian,   perancangan  dan   pentadbiran.  RIDA   yang   kemudiannya   ditukarkan   nama   kepada  MARA  (Majlis  Amanah   Rakyat )    telah   ditubuhkan   oleh  kerajaan  untuk   membantu   menjalankan   tugas  dan   usaha   bagi  meningkatkan   pendapatan   penduduk  terutamanya   bagi   kawasan   luar  bandar.   Ketika   berucap   pada   majlis   tersebut,   Datuk   Abdul  Razak   menyatakan   harapan  agar   RIDA   dapat   memainkan   peranan   untuk   terus   membantu  melatih   rakyat   dalam  bidang   iktisad   dan   perniagaan.   Beliau   juga   telah   menggariskan  tujuh  tugas  penting  yang  akan  dikendalikan  oleh   bahagian-bahagian  di   dalam   pentadbiran   RIDA  antaranya  ialah   bahagian   latihan   dan   juga   bahagian   kemudahan   modal   dan   pinjaman.  Dato’  Abdul   Razak   juga   telah   menyeru   agar   usaha   secara   bersama  diadakan  bagi  membantu  rakyat  memperluaskan  mata  pencarian   yang  sekaligus  meningkatkan  pendapatan  penduduk  terutamanya  kaum  bumiputera.  Sesungguhnya,  RIDA  telah  menyumbang  meningkatkan   kedudukan  taraf  ekonomi  kaum  bumiputera  dalam  usaha  kerajaan  membangunankan   negara   selepas   kemerdekaan  dicapai   pada   31   Ogos   1957.
http://www2.arkib.gov.my/hids/


Isnin, 9 Januari 2017

Tarikh Peristiwa : 09­01­1942 Bandar Jesselton Jatuh Ke Tangan Jepun

Susunan Ahmad bin Yaakob
Pada hari ini dalam tahun 1942, bandar Jesselton ibu negeri Sabah yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu telah jatuh ke tangan Jepun. Dengan tertawannya Jesselton, pihak Jepun telah memenjarakan pegawai-­pegawai berbangsa Eropah pada 19 Januari 1942 dan seterusnya mengambil tindakan ke atas kakitangan berbangsa Eropah yang lain dengan memenjarakan kesemuanya di Berek Polis Jesselton.
Pihak Jepun kemudiannya mengisytiharkan Sabah sebagai sebahagian daripada Dai Nippon iaitu taklukan Jepun di bawah pemerintahan seorang Komander dan dibantu oleh pasukan askar Jepun. Pentadbiran
Tentera Jepun juga telah memperkenalkan mata wang yang baru iaitu mata wang Jepun bagi
menggantikan mata wang British, sementara persekolahan, pejabat dan lain­lain diteruskan seperti biasa tetapi berorientasikan kepentingan pihak Jepun. Perdagangan Sabah dikawal sepenuhnya oleh Jepun menyebabkan rakyat menderita kerana kekurangan bahan-­bahan keperluan asas seperti makanan,pakaian dan perubatan. Hal ini menimbulkan penentangan rakyat terhadap pentadbiran Jepun seperti pemberontakan secara gerila dilancarkan dalam tahun 1943. 
      Menjelang tahun 1945 Pihak Berikat mula melancarkan serangan balas ke atas pentadbiran Jepun di Sabah. Dengan bantuan rakyat tempatan pihak pentadbiran Jepun di Sabah dapat ditewaskan dan bandar Jesselton khususnya dan Sabah amnya telah dapat dibebaskan sepenuhnya dari Jepun pada 9 September 1945.

Sumber- http://hids.arkib.gov.my/-/bandar-jesselton-jatuh-ke-tangan-jep-1

Ahad, 8 Januari 2017

Pembukaan Rasmi Maktab Turus Angkatan Tentera

Pembukaan Rasmi Maktab Turus Angkatan Tentera 8.1972
SUSUNAN –AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1972, dengan rasminya Maktab Turus Angkatan Tentera Diraja Malaysia telah
dibuka oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Cadangan untuk
menubuhkan Maktab Turus Angkatan Tentera itu telah disuarakan oleh Perdana Menteri sejak tahun
1969 lagi bagi memenuhi kehendak dan keperluan­keperluan Angkatan Bersenjata terutamanya untuk
mendapatkan pegawai­pegawai terlatih di peringkat pertengahan. Keperluan itu menjadi tambah
mendesak memandangkan kepada perkembangan­perkembangan politik yang tidak seimbang di Asia,
khususnya di rantau Asia Tenggara. Penubuhan Maktab Turus itu akan memberi peluang kepada
pegawai­pegawai turus melanjutkan latihan dalam suasana dan persekitaran tempatan berikutan sukatan
pelajarannya dirancang dan disusun begitu rupa untuk memenuhi keperluan­keperluan kita sendiri dan
diubahsuai mengikut suasana dan persekitaran Malaysia, dengan menegaskan kepada keadaan geografi
tempatan serta struktur sosio­ekonomi dan politik yang terdapat di negara ini. Maktab Turus itu diketuai
oleh Bragider General Arul sebagai Komandannya yang pertama dengan tenaga­tenaga pengendali yang
terdiri daripada pegawai­pegawai tentera Malaysia sendiri. Mereka ini mendapat latihan daripada maktabmaktab
tentera yang ternama seperti Quetta dan Fort Lavensworth; Cranwell dan Bandung, Wellington
dan Queen's Cliff untuk disesuaikan dengan suasana dan persekitaran di Malaysia. Penubuhan Maktab ini
merupakan usaha ke arah memajukan lagi Angkatan Bersenjata sendiri.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/-/pembukaan-rasmi-maktab-turus-angkatan-tentera

Ahad, 1 Januari 2017

Rancangan Buku Hijau peringkat kebangsaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 20 Disember 1974

SUSUNAN OLEH-AHMAD YAAKOB
Rancangan Buku Hijau peringkat kebangsaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 20 Disember 1974. Rancangan yang tercatit dalam Buku Hijau ini adalah menumpukan perhatian kepada penggunaan tanah yang sepenuhnya dengan tanaman jangka pendek, pekebunan cara berkelompok, rancangan ternakan, rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan projek-projek kecil yang lain. Matlamat rancangan ini ialah untuk menambahkan pengeluaran bahan-bahan makanan supaya cukup untuk keperluan Negara serta dapat menambahkan pendapatan rakyat, wakil rakyat, pegawai kerajaan supaya lebih cergas untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha pembangunan.