Khamis, 22 Disember 2016

1.1.1866 BANDAR TANJONG PUTERI (JOHOR BAHRU) DIJADIKAN IBU NEGERI JOHOR

SUSUNAN OLEH-AHMAD YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1866, Bandar Tanjong Puteri diubah namanya kepada Johor Bahru sebagai Ibu Negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor, menggantikan Teluk Belanga di Singapura. Orang yang bertanggungjawab mengubah nama Ibu Negeri itu ialah Sultan Johor sendiri iaitu Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor. Baginda mengambil tindakan itu memandangkan Tanjong Puteri mempunyai kedudukan yang lebih baik dan lebih sesuai dari Teluk Belanga sebagai,pusat pentadbiran dan perniagaan serta cepat pula membangun. Selepas dari tarikh itu, Johor Bahru atas daya usaha Maharaja Abu Bakar, yang dikenali sebagai 'Bapa Johor Moden' membangun dengan pesatnya. Di sinilah baginda Sultan Abu Bakar mentadbir Negeri mengikut cara pentadbiran Inggeris. Di bawah pentadbiran baginda secara moden itu bandar Tanjong Puteri atau Johor Bahru berkembang dengan pesatnya sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan. Pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan mula ditubuhkan. Menjelang tahun 1866 Johor Bahru telah mempunyai Pejabat Setiausaha Kerajaan, jabatan Perbendaharaan, Pejabat Odit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, jabatan Kerja Raya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran dan lain-lain.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/

KUALA TERENGGANU DIISYTIHAR BANDAR RAYA WARISAN PESISIR AIR 1.1.2008

SUSUNAN OLEH-AHMAD YAAKOB
Pada hari ini  dalam tahun 2008,  Kuala Terengganu secara rasminya menjadi sebuah bandar raya ke-12 di negara ini. Ia dikenali sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Air bersesuaian dengan lokasinya berada di pesisir sungai dan Laut China Selatan. Dengan perisytiharan tersebut, Kuala Terengganu merupakan  bandar raya pertama di Pantai Timur dan menjadi bandar raya ke-12 selepas Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Shah Alam, Melaka, Alor Star, Petaling Jaya, Kota Kinabalu, Kuching Utara, Kuching Selatan dan Miri. Pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Pemangku Raja Terengganu, KBDYMM Tengku Mohammad Ismail Al Wathiqu Billah Al-Sultan  Mizan Zainal Abidin dalam istiadat pengurniaan watikah perisytiharan dan suratcara pelantikan Datuk Bandar di Istana Maziah, Kuala Terengganu.  Sesungguhnya Bandaraya Kuala Terengganu kini  melalui satu transformasi utama di bawah projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu  dan  menyaksikan ibu negeri Terengganu itu bakal dibangunkan sebagai sebuah Bandar Warisan Pesisir Air dan pintu gerbang pelancongan antarabangsa bagi Pantai Timur.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/

PELANCARAN POS MALAYSIA BERHAD

SUSUNAN OLEH-AHMAD YAAKOB
Pada hari dalam tahun 1992, Jabatan Perkhidmatan Pos telah digantikan dengan Pos Malaysia Berhad. Majlis pelancaran Pos Malaysia Berhad ini telah dilancarkan oleh Menteri Tenaga, Telekom dan Pos Dato’ Sri Samy Vellu di Kompleks Dayabumi tepat pukul 12 tengah malam. Dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran ini, beliau memberitahu dengan penswastaan ini dapat mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan. Selain itu peningkatan dari segi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan. Dalam majlis pelancaran ini juga Pos Malaysia telah memperkenalkan imej baharu mereka dengan pakaian seragam dan logo yang baharu. Logo baharu Pos Malaysia mempunyai lambang burung terbang yang menjanjikan perkhidmatan yang lebih cemerlang. Selain itu kakitangan Pos Malaysia juga akan menikmati skim gaji baharu sebagai kakitangan sebuah syarikat swasta. Dengan penswastaan Pos Malaysia Berhad ini menjadikannya agensi ketiga yang telah diswastakan selepas Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/