Ahad, 29 September 2019

PERSIDANGAN RAJA-RAJA MELAYU MENGENAI RUNDINGAN PERLEMBAGAAN BAGI MALAYA MERDEKA

Pada hari ini dalam tahun 1955, Raja-Raja Melayu telah mengadakan persidangan di Kuala Lumpur bagi membincangkan mengenai rombongan yang akan mengadakan rundingan berkaitan perubahan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang akan diadakan di London pada awal tahun 1956. Turut hadir adalah Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Kerajaan Perikatan. Persidangan ini telah memutuskan bahawa rombongan tersebut adalah terdiri daripada wakil Raja-Raja Melayu dan kerajaan Perikatan. Rombongan ini yang dinamakan ‘Rombongan Malaya Merdeka’ telah belayar ke London pada 1 Januari 1956. Ia terdiri daripada YTM Tunku Abdul Rahman Putra; Dato’ Abdul Razak Hussein; Dr. Ismail Abd. Rahman dan Kol. H.S. Lee sebagai wakil kerajaan Perikatan. Manakala wakil Raja-Raja Melayu pula terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang; Dato’ Nik Ahmad Kamil; Encik Abd. Aziz Abd. Majid; Dato’ Mohd. Seth serta Encik T.H. Tan selaku setiausaha rombongan. Mereka akan mengadakan rundingan bersama wakil baginda Queen.[1]



[1] http://www2.arkib.gov.my/hids/

Jumaat, 6 Oktober 2017

Hari ini, 50 tahun lalu



ARKIB : 01/08/2007

Johor terima Rang Perlembagaan Merdeka sebulat suara
Majlis Mesyuarat Negeri Johor yang bersidang pada 31 Julai 1957 telah menerima dengan sebulat suara Rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka.

Pemuda UMNO bantah seruan merdeka di radio
Pemuda UMNO cawangan Kota Bharu, Kelantan dalam mesyuarat jawatankuasanya telah membantah seruan ‘merdeka’ yang disiarkan oleh Radio Malaya. Mesyuarat memutuskan bahawa seruan ‘merdeka’ hendaklah diucapkan oleh juruhebah radio sendiri dan bukan sebagaimana dilakukan.

Pindaan undang-undang Pahang diterima, akan diluluskan sebelum merdeka

Majlis Mesyuarat Negeri Pahang bersetuju membuat pindaan kepada bahagian-bahagian fasal undang-undang tubuh negeri Pahang untuk disesuaikan dengan Perlembagaan baru Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka selepas 31 Ogos 1957 apabila cadangan membawa pindaan dikemukakan oleh penasihat undang-undang.

Perjumpaan membincangkan tanggungjawab Pemuda
Peranan dan tanggungjawab Pemuda dalam Malaya yang merdeka dibincangkan dalam satu perjumpaan pemuda-pemuda Melayu Utara, diadakan tiga hari berturut-turut mulai 9 Ogos 1957 di Kulim, Kedah. Perjumpaan anjuran Panitia Youth Club Kedah itu bermatlamat menanam pengertian mendalam mengenai kemerdekaan.

Hadiah Dewan Perniagaan Persekutuan kerana kemerdekaan

Dewan Perniagaan Persekutuan Negeri-Negeri Melayu, iaitu dewan kepunyaan orang Eropah telah menyampaikan hadiah sebanyak RM27,375 kerana perayaan kemerdekaan.

Lakonan sejarah lama tanah air
Kejadian-kejadian yang berlaku dalam tanah air pada masa silam disusun bagi dijadikan lakonan semasa Hari Kemerdekaan. Ini termasuk di kalangan orang Bugis di Batu Pahat yang berusaha menyiapkan cerita anak Bugis lima bersaudara untuk dipertontonkan sempena perayaan kemerdekaan. Pada masa sama, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Batu Pahat turut berlatih berlakon cerita Megat Terawis untuk dimainkan ketika perayaan merdeka di Batu Pahat.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4ujevu9L0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 Februari 2017

PERASMIAN KOMPLEKS PERNIAGAAN PEKAN RABU, KEDAH.25.2.1978

SUSUNAN –AHMAD BIN YAKOB
Pada  hari  ini 25.2  dalam  tahun  1978,  Kompleks  Perniagaan  Pekan  Rabu   dirasmikan  oleh  YAB Dato’ Seri Dr.  Mahathir Mohamad, Timbalan  Perdana  Menteri.  Bangunan  yang  menempatkan  kompleks  perniagaan  ini  dibina  khas  bagi  memudahkan  para  peniaga  Bumiputera  khususnya  Orang  Melayu  menjalankan  perniagaan  mereka.  Bangunan  ini  telah  dapat  direalisasikan  pembinaannya  dengan  bantuan  sebanyak  $3.2  juta  daripada  Majlis  Amanah  Rakyat (MARA).  Sejarah  Pekan  Rabu  bermula  daripada  sebuah  pasar  minggu  yang  diadakan  pada  setiap  hari  Rabu  di  Tanjung  Chali,  Alor  Setar.  Ianya  telah  diasaskan  oleh  YTM  Tunku  Yaakob  Ibni  Almarhum  Sultan  Abdul  Hamid  Halim  Shah pada  tahun   1920.  Pada  tahun  1932,  Pekan  Rabu  telah  berpindah  ke  lokasinya  kini  iaitu di Jalan  Tunku  Ibrahim,  Alor  Setar,  Kedah.  Bangunan  Pekan  Rabu  yang  terdapat  kini  terdiri  daripada  2  fasa  di mana  Fasa  Pertama  adalah  terdiri  daripada  3  tingkat  bangunan  perniagaan  yang  mengandungi  274 buah  kedai,   manakala  Fasa  Kedua  adalah  terdiri  daripada  3  tingkat  bangunan  yang  mengandungi  73  buah  kedai.   Sesungguhnya,  penubuhan  Pekan  Rabu  telah  berjaya  menyatupadukan  peniaga-peniaga  Melayu  di bawah  satu  bumbung  serta  melahirkan  lebih  ramai  pemborong  dan  peniaga  Melayu   serta   mengetengahkan  barangan  keluaran  kampung  ke dalam  pasaran  terbuka.

SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=556

Ahad, 19 Februari 2017

PERJANJIAN BANTUAN UNESCO KEPADA MALAYSIA DITANDATANGAN I 20.1.1967


susunan AHMAD BIN YAAKOB


Pada hari ini dalam tahun 1967, satu perjanjian bantuan daripada  pihak  UNESCO (United Nation Education Science and Culture Organisation)  kepada  Kerajaan  Malaysia  telah  ditandatangani  bertempat  di  Maktab  Perguruan Lembah  Pantai,  Kuala  Lumpur.  Kerajaan  Malaysia  telah diwakili  oleh  Menteri  Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari manakala  UNESCO diwakili oleh Timbalan Pengarah Agongnya,  Dr. M.S. Adiseshah.  Antara  kandungan  perjanjian  mengenai  bantuan  dalam  bidang  dasar  pembangunan  dan  pelajaran  ini  ialah  persetujuan  pihak  UNESCO  untuk  membantu  menubuhkan  sebuah  Maktab  Teknik  Ipoh,  Perak  dengan  memberi  bantuan  berupa  kelengkapan  dan  tenaga  pengajar.  Selain  daripada  itu  UNESCO  juga  akan  menempatkan  Pegawai Penasihat Sains di Pejabat Perdana Menteri bagi  Malaysia menubuhkan sebuah Majlis Penyelidikan Kebangsaan yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran penyelidikan sains di negara ini.  Disamping  itu  juga UNESCO  akan  menghantar  pakar  perancang  Khutub  Khanah  ke Malaysia.  Sesungguhnya,  bantuan  daripada  badan-badan  antarabangsa  turut  memainkan  peranan  penting  dalam  usaha  mempercepatkan  pembangunan  negara. 
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

MESYUARAT KALI PERTAMA KABINET MERDEKA

MESYUARAT KALI PERTAMA KABINET MERDEKA 10.9-1957
susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 10 September dalam tahun 1957, telah berlangsung satu sidang Jemaah Menteri Kabinet yang pertama dalam sejarah Persekutuan Tanah Melayu Merdeka. Sidang itu telah diadakan di bangunan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Dalam persidangan tersebut, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri telah memangku jawatan yang pada masa sebelum merdeka ia dijawat oleh Pesuruhjaya Tinggi British selaku pengerusi Majlis mesyuarat yang lama. Inilah kali pertama dimana seorang anak peribumi mengambil alih teraju pimpinan jemaah Menteri dan seterusnya mengetuai kerajaan setelah sekian lama ia dikuasai oleh penjajah.  Dalam sidang yang berlangsung selama dua jam itu, Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri telah menerangkan kepada jemaah menteri tentang peraturan-peraturan baru kabinet dan juga ingatan kepada para Menteri berkenaan dengan tanggungjawab dalam bidang tugas kabinet. Didalam kabinet ini semua Menteri adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin Perikatan UMNO-MCA-MIC yang memenangi pilihanraya Umum 1955 melainkan Col. H.S. Lee. Beliau ialah seorang Menteri yang tidak dipilih melalui pilihanraya tetapi dilantik dan diserahkan Fortfolio sebagai Menteri Kewangan. Sistem perlantikan ini dimasukkan apabila berlangsung pilihanraya umum 1959 dimana seluruh Menteri kabinet 1959 terdiri daripada anggota-anggota yang memenangi pilihanraya sahaja. Sesungguhnya mesyuarat pertama kabinet pada hari ini dalam tahun 1957, merupakan detik bersejarah dalam usaha pemimpin-pemimpin negara menerajui pemerintahan berkerajaan sendiri.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON

susunan AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 18 Januari dalam tahun 1956, Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah diadakan.  Persidangan ini dinamakan Persidangan Malaya Merdeka. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang dibincangkan ialah:-

Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’,
Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato' Abdul Razak bin Hussein, Dr, Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee, Tuan T.H. Tan dan Bahaman Shamsudin.  Wakil-wakil dari Raja-Raha Melayu pula terdiri dari  Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato' Mohd Seth. Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31 hb. Ogos, 1957.           

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

PERASMIAN STADIUM MERDEKA

susunan AHMAD BIN YAAKOB

Pada hari ini 30 Ogos dalam  tahun  1957,   Ketua  Menteri  Persekutuan  Tanah  Melayu, Tunku  Abdul  Rahman  Putra  telah  mengisytiharkan  pembukaan Stadium  Merdeka.  Turut  serta  hadir  pada  upacara  tersebut  ialah  Pengerusi  Lembaga  Pengawalan  Stadium  Merdeka,  Dato’  Abdul  Razak  Hussein.  Pada  hari   tersebut  Stadium  Merdeka  bergema  dengan  sorokan  lebih  15,000  hadirin  termasuk  pelajar-pelajar  sekolah,  700  orang  tetamu kehormat dan ahli-ahli sukan dari lapan  negara luar. Upacara tersebut juga diserikan dengan pertunjukan acara padang oleh 1,000 orang kanak-kanak sekolah dengan iringan pancaragam Askar Melayu Diraja.  Kerja-kerja  pembinaan  Stadium  yang  bernilai  sebanyak  $2.3   juta  ini  telah  dimulakan pada  25  September  1956 dan perletakan  batu  asas  Stadium ini  telah  disempurnakan  oleh Tunku  Abdul  Rahman  pada  15  Februari  1957.  Pembinaan  Stadium  ini  telah  siap  pada  21  Ogos  1957  dan  pengendaliannya  telah  diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control).  Antara  beberapa  peristiwa  bersejarah  yang  terakam  di  Stadium  ini  ialah  Pengisytiharan  Kemerdekaan  Persekutuan  Tanah  Melayu oleh  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  pada  31  Ogos  1957.